Ibrahim telah berkahwin dengan Siti Sarah, seorang wanita Yahudi bangsawan. Bertahun lamanya tidak dikurniakan anak. Maka Ibrahim berkahwin lagi dengan seorang wanita hadiah daripada raja Mesir ketika itu, Siti Hajar. Berlainan asal taraf hidup dengan Siti Sarah, Siti Hajar adalah wanita berketurunan hamba, bukan dari bangsa Yahudi. Dengan Siti Hajar, dikurniakan seorang anak lelaki, namanya Ismail. Ketika inilah bermulanya keretakkan rumahtangga mereka- Siti Sarah merasakan Ibrahim lebih banyak mendekati Siti Hajar sehingga dapat melahirkan zuriat serta setelah adanya Ismail, Ibrahim lebih banyak meluangkan masa bermain dengan putera sulungnya. Sedangkan dia sudah bertahun bersama Ibrahim tetapi tetap belum dikurniakan anak. Tambahan pula Siti Hajar itu tidaklah sama taraf hidupnya dengan Siti Sarah yang memang berasal dari golongan bangsawan. Dari kejadiaan itulah, Siti Sarah meminta suaminya menjauhkan Siti Hajar untuk ditinggalkan di suatu tempat supaya akan dijumpai orang lalu diambil orang yang menjumpai mereka. Dengan hikmah tersembunyi, Allah telah perintahkan Ibrahim as. menuruti keinginan Siti Sarah lalu membawa Siti Hajr ke suatu tempat yang kering dari rezeki dan tidak diduduki orang untuk ditinggalkan seorang diri bersama putera kecilnya itu. Ibrahim as. sedar inilah ujian demi ujian yang Allah berikan kepadanya demi menguji keimanannya. Dengan rasa berserah diri kepada Allah, maka Ibrahim as. pun membawa Siti Hajar dan Ismail dari Palestin ke tempat yang dia sendiri tidak tahu tanpa pengetahuan Siti Hajar akan niat Ibrahim as. untuk meninggalkan dirinya. Ditunggangi unta oleh mereka, Ibrahim hanya berserah kemana unta itu akan berhenti kelak. Disitulah tempat yang akan Ibrahim tinggalkan mereka nanti. Setelah beberapa hari melalui padang pasir yang panas terik, tiadalah pohon-pohon untuk berteduh, gelap gelita dimalam hari, sudahlah tidak dihuni orang, apabila sampai, -di lembah Makkah, di tempat di mana Masjidil Haram sekarang berada, berhentilah unta Nabi Ibrahim as. mengakhiri perjalanannya dan di situlah ia meninggalkan Hajar bersama puteranya dengan hanya dibekali dengan serantang bekal makanan dan minuman sedangkan keadaan sekitarnya tiada tumbuh-tumbuhan, tiada air mengalir, yang terlihat hanyalah batu dan pasir kering. Tibalah masanya Ibrahim as. meninggalkan Siti Hajar. Kesedihan Siti Hajar tidak dapat disembunyikan apabila mengetahui suaminya mahu meninggalkan dirinya seorang diri bersama Ismail mengundang perasaan sayu oleh Ibrahim as. Alangkah sayunya perasaan Ibrahim as. apabila mahu melangkah pergi, terasa berat hatinya mahu meninggalkan isteri tercinta. Namun itulah dia, wanita solehah yang dipilih oleh Allah SWT. yang akan menghuni syurgaNya. Dengan rasa redha atas segala perintah Allah SWT., dibiarkan Ibrahim pergi meninggalkan mereka demi menurut perintah Allah…
Setelah itu, Ibrahim as. pulang semula ke Palestin
untuk bersama Sarah. Didalam hatinya sentiasa memohon kepada Allah SWT.,
agar diselamatkan isteri dan anaknya. Ia berkata dalam doanya:
” Wahai Tuhanku! Aku telah tempatkan puteraku dan
anak-anak keturunannya di dekat rumah-Mu (Baitullahil Haram) di lembah
yang sunyi dari tanaman dan manusia agar mereka mendirikan solat dan
beribadat kepada-Mu. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada
mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan yang lazat,
mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu.”
Dilembah Makkah yang tiada penghuni itulah Siti
Hajar bersama putera kesayangannya. Ketika Siti Hajar keseorangan
bersama puteranya, kesabarannya tetap menebal.
Dari Bukit Safa ke Bukit Marwah lah Siti Hajar berlari-lari anak mencari air untuk diberikan kepada anaknya.
Disinilah
umat Islam melakukan rukun sa’i ketika menunaikan haji. Dengan kuasa
Allah SWT., dihujung tapak kaki Ismail rupanya keluar air. Di situlah
tempatnya kini dipanggil telaga Zamzam. Air Zamzam inilah kurnian dari
Allah SWT., bagi membantu hambanya yang beriman.
Dengan terpancutnya air Zamzam telah menarik
burung-burung berterbangan mengelilingi tempat itu, menarik pula
perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan
sedang berkhemah di sekitar Makkah. Mereka mengetahui dari pengalaman
bahawa di mana ada terlihat burung di udara, nescaya dibawahnya terdapat
air, maka diutuslah oleh mereka beberapa orang untuk memeriksa
kebenaran ini. Para pemeriksa itu pergi mengunjungi daerah di mana Hajar
berada, kemudian kembali membawa berita gembira kepada kaumnya tentang
mata air Zamzam dan keadaan Hajar bersama puteranya. Segera sekelompok
suku Jurhum itu memindahkan perkhemahannya ke tempat sekitar Zamzam, di
mana kedatangan mereka disambut dengan gembira oleh Hajar kerana adanya
sekelompok suku Jurhum di sekitarnya, ia memperolehi jiran-jiran yang
akan menghilangkan kesunyian dan kesepian yang selama ini dirasakan di
dalam hidupnya berduaan dengan puteranya saja.
Nabi Ibrahim dari masa ke semasa pergi ke Makkah
untuk mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat pengasingannya bagi
menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang ia sayangi serta
menenangkan hatinya yang selalu rungsing bila mengenangkan keadaan
puteranya bersama ibunya yang ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh
dari masyarakat kota dan pengaulan umum ketika itu. Sewaktu Nabi Ismail
sedang membesar, Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih
Ismail puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari
cara-cara turunnya wahyu Allah, maka perintah yang diterimanya dalam
mimpi itu harus dilaksanakan oleh Ibrahim as. Ia duduk sejurus termenung
memikirkan ujian yang maha berat yang ia hadapi. Sebagai seorang ayah
yang dikurniai seorang putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan
dan didambakan, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan
penyampung kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan korban
dan harus direnggut nyawa oleh tangan si ayah sendiri. Sungguh amat
berat ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman
Allah yang bermaksud:
“Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan risalahnya”.
Ibrahim as. tidak membuang masa lagi, berazam
(niat) tetap akan menyembelih Ismail, puteranya sebagai korban sesuai
dengan perintah Allah yang telah diterimanya.
Ismail sebagai anak yang soleh yang sangat taat
kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika diberitahu oleh
ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan berfikir
panjang berkata kepada ayahnya:
“Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang telah
diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan menemuiku insya-Allah
sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku hanya meminta
dalam melaksanakan perintah Allah itu, agar ayah mengikatku kuat-kuat
supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua agar
menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan
berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga
tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar
meringankan penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir
sampaikanlah salamku kepada ibuku. Berikanlah kepadanya pakaian ku ini
untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan tanda mata serta
kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya.”
Allahuakbar…tidak dapat ana bayangkan…Maha Suci Allah yang menciptakan alam ini….
Kemudian dipeluknyalah Ismail dan dicium pipinya oleh Ibrahim as. seraya berkata:
“Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat
kepada Allah, bakti kepada orang tua yang dengan ikhlas hati menyerahkan
dirinya untuk melaksanakan perintah Allah”.
Saat penyembelihan yang mengerikan telah tiba.
Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah ia di atas
lantai, lalu diambillah parang tajam yang sudah tersedia dan sambil
memegang parang di tangannya, kedua mata Ibrahim as. yang tergenang air
berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di
tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau menjadi tempat
pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajiban
seorang rasul di satu pihak yang lain. Pada akhirnya dengan memejamkan
matanya, parang diletakkan pada leher Ismail dan penyembelihan di
lakukan . Akan tetapi apa daya, parang yang sudah demikian tajamnya itu
ternyata menjadi tumpul dileher Ismail dan tidak dapat berfungsi
sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.
Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari
Allah yang menegaskan bahwa perintah perkorbanan Ismail itu hanya suatu
ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta dan
taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang
sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus
dengan pengorbanan puteranya untuk berbakti melaksanakan perintah Allah
sedangkan Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam
memperagakan kebaktiannya kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan
menyerahkan jiwa raganya untuk dikorbankan, sampai-sampai terjadi
seketika merasa bahawa parang itu tidak lut memotong lehernya,
berkatalah ia kepada ayahnya:
” Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai
hati memotong leherku karena melihat wajahku, cubalah telengkupkan aku
dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku. “
Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya
mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walau ia telah
ditelengkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.
Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya:
Dalam keadaan bingung dan sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya:
“Wahai Ibrahim! Engkau telah berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang berbuat kebajikkan.”
Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah
diselamatkan, Allah telah menggantikan Ismail dengan seekor kibas yang
telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kibas tersebut.
Diriwayatkan Nabi Ismail mempunyai 12 anak lelaki
dan seorang anak perempuan yang dikahwinkan dengan anak saudaranya,
iaitu Al-’Ish bin Ishak. Nabi Ishak adalah adik beradik Nabi Ismail.
Ishak as. adalah anak kepada Siti Sarah yang berketurunan bangsawan
Yahudi itu. Daripada keturunan Nabi Ismail inilah lahir Nabi Muhammad
SAW dari Bani Hasyim. Keturunan Nabi Ismail juga mewujudkan bangsa Arab
Musta’ribah.
Dan inilah asal permulaan sunnah berqurban yang
dilakukan oleh umat Islam pada setiap Hari Raya Edul Adha di seluruh
dunia. Semoga dapatlah kita menghayati makna sebenar amalan korban yang
kita lakukan selama ini. Sesungguhnya, maksud yang terkandung di dalam
amalan itu lebih jauh perlunya kita serapkan dalam diri kita sebagai
hambaNya. Inilah dua contoh pengorbanan (anak Nabi Adam as., Ibrahim as
dan Ismail as.) yang dilakukan demi mendapat keredhaan dari Allah yang
dapat kita contohi. Semoga Allah juga menerima setiap dari amalan yang
kita laku. Amin.
No comments:
Post a Comment